Hobi baru saya
March 5th, 2008 / 1 Comment » / by wanfauzan
Pernah sekali saya terdengar daripada seorang rakan, bahawa Tun Dr. Mahathir pernah berkata kepada pelajar-pelajar Malaysia yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara supaya membeli kamera. Sejauh mana kebenaran cerita ini, wallahuallam. Kamera sememangnya alat yang sangat penting terutamanya ketika melancong ke sesuatu tempat. Dengan kamera pelbagai kenangan, baik pahit mahupun manis, dapat diabadikan.
Sejak berada di luar negara, saya banyak terpengaruh dengan rakan-rakan yang mempunyai kamera yang canggih dan mahal. Setelah melihat pelbagai gambar-gambar indah daripada mereka, saya tergerak untuk membeli kamera pertama saya. Kamera pertama saya ialah kamera kompak Kodak Z612 yang berharga EUR 200 setahun yang lepas. Setelah setahun bersama dengan kamera itu dan pada masa yang sama menyimpan sedikit duit, akhirnya saya telah membeli sebuah lagi kamera baru, iaitu Nikon D80, sebuah kamera yang tergolong dalam kategori kamera pantulan lensa tunggal.
Kadang-kadang tercetus juga penyesalan di hati, apabila memikirkan kembali sama ada pembelian tersebut berbaloi atau tidak. EUR 800 untuk hanya sebuah kamera. Kata-kata terkenal di kalangan jurugambar, “Bukan kamera yang mengambil gambar yang cantik, tetapi jurugambar itu sendiri.” Tidak kira secanggih mana kamera tersebut, jika jurugambar tidak kreatif, maka hasilnya juga tidak kreatif. Bayangkan bagaimana jurugambar-jurugambar pada tahun 70-an dapat menghasilkan gambar-gambar yang menakjubkan. Jika dibandingkan dengan peralatan yang digunakan mereka, kamera-kamera sekarang jauh mengatasi kamera-kamera mereka. Akan tetapi, berapa ramai yang dapat menghasilkan gambar-gambar yang sekurang-kurangnya setanding dengan menggunakan kamera berteknologi tinggi pada zaman kini.
Akan tetapi, banyak juga yang dapat saya pelajari dengan kamera baru ini. Sebagai contoh, pelajaran optik fizik yang selama ini dipelajari semata-mata untuk lulus peperiksaan, kini dapat digunakan dalam memahami bagaimana sesuatu lensa berfungi. Perlahan-lahan mengambil gambar menjadi hobi baru saya. Mungkin saya akan berkongsi pengalaman sebagai seorang yang mula berjinak-jinak mengambil gambar (kemahiran mengambil gambar yang masih lemah menyebabkan saya tidak meggelarkan diri saya sebagai amatur. Amatur adalah mereka yang sudah berkemahiran dalam mengambil gambar).
Akhir kata, selamat maju jaya untuk semua. Salam



